Monday, June 21, 2010

Siapa haram? (Bahagian 1)


"Wahai semut, kasihanilah hamba. Hamba ini tidak meminta tinggal di perkampungan kalian. Jika diberi peluang, bukan sahaja menetap di sini, menghirup udara di sini pun, hamba tidak mahu," hanya kalbuku yang mampu menjerit.

Sejak 10 jam aku menjadi warga dunia, aku belum menatap keindahan. Aku keluar dari perut wanita ibu dengan sentapan kuat seorang lelaki. Tempat mereka memilih untuk melahirkanku adalah tandas kotor di sebuah ladang kelapa sawit. Aku kemudian dibalut dengan sehelai kain batik yang bertengik darah lalu dimasukkan dalam sebuah beg. Beg itu dizipkan.

"Kau tunggu di sini sayang. Aku akan buang 'cinta' kita ini di lokasi paling strategik," kata lelaki yang 'menyimpan' aku di dalam beg yang kini teroleng-oleng di tangannya. Lelaki itukah pasangan ibu? Aku menjerit kerana lemas. Lelaki itu membuka zip beg lalu menyumbat mulutku dengan kain yang sama. Beg itu dizipkan semula. Aku menderita.

"Wahai semut, berikan hamba sedikit cinta. Hingga saat ini, tiada siapa yang menyenangi kelahiran hamba hatta matahari pun belum menyambutku dengan cahayanya. Dan kau semut, kau juga mahu menggigit diri hamba?" Aku berbisik kepada sang semut yang ingin masuk ke mataku pula. Semut-semut itu terus melata ke segenap wajahku. Rasa kegelian menyirap dan kesakitan tidak tertanggung. Oh ibu, mengapa kau mahu membunuh anakmu?

Aku ingin menyerah diri. Jika jodohku dengan kehidupan, aku berjanji pada Tuhan, aku tidak mahu menjadi manusia yang kejam. Aku tidak mahu membunuh manusia sesuka hati seperti yang ibu lakukan padaku. Aku juga tidak akan menggigit orang lain dan menceroboh wilayah-wilayah yang bukan kepunyaanku seperti semut- semut kecil ini. Malah, aku tidak pernah terfikir bahawa manusia yang dikurniakan akal fikiran dan perasaan sanggup melakukan kezaliman terhadap manusia lain. Aku tentu dapat memaafkan semut, tetapi ibu?

Aku mahu menangis lagi. Badanku rasa sangat gatal dan sakit. Aku juga lapar. Semut-semut tidak mahu menolongku. Dalam beg yang gelap itu, aku tidak dapat mengecami makhluk yang lain. "Tolong semut, tolong bukakan zip beg ini," jeritku namun sekadar di dalam hati. Tuhan, dengarkan janjiku, aku tidak akan membuat orang terhina dengan mencampakkan mereka ke tempat sampah. Seperti ibu dan pasangannya yang telah membuangku di sini. Tuhan, jikalau kehidupan menjadikan aku manusia zalim, maka aku rela Kau mengambil nyawaku sekarang.

utusanmalaysia

No comments:

Post a Comment