Thursday, August 19, 2010

siapa haram- Bhgn Akhir...

Menjadi pengutip besi buruk bukanlah pilihan hidup. Tetapi itulah kerjanya sehari-hari kerana miskin dan tidak berilmu. Dia bangun awal pagi sebelum Subuh dan melihat tidak ramai orang Islam yang berjemaah di masjid. Dia, kadang-kadang bertemankan anjingnya, pergi mencari besi buruk di setiap tong sampah di kawasan perumahan itu. Oleh kerana acap disergah anjing-anjing lain, dia menukar strategi untuk tidak membawa anjingnya lagi.

Dia lelah dengan kehidupan. Kadang hatinya terdetik bahawa kematian dapat menamatkan penderitaannya ini. Namun, terkenangkan kata Samad, jirannya bahawa 'orang kafir' akan masuk neraka, dia jadi teramat takut. Betulkah aku akan masuk neraka? Dia sendiri buntu. Apakah agama yang diyakininya sekarang benar atau salah? Samad pernah menceritakan tentang agama Islam padanya. Katanya Islam itu agama rahmat untuk sekalian makhluk. Islam tidak membezakan orang kaya atau orang miskin, orang berkulit putih ataupun berkulit hitam sepertinya. Islam adalah satu-satunya agama Allah Yang Maha Esa. Sesiapa yang menganut agama Islam akan dijamin syurga apabila mati kelak.

Dia terfikirkan kata-kata Samad itu. Tetapi ada hal lain yang menghalangnya daripada memeluk agama Islam. Bila melihat kelakuan Samad sendiri dan orang-orang Melayu di daerahnya, mereka tidak berkelakuan seperti yang mereka serukan. Misalnya, Samad suka menghabiskan masa di kedai kopi, menuduh orang itu dan ini salah. Bermuka-muka dan suka mengampu. Malah Samad selalu memanggilnya ' keling hitam.' Dia rasa malu dan terhina dengan ejekan Samad. Justeru, hatinya juga tertutup untuk memeluk agama yang dianuti oleh Samad.

Tangannya menarik keluar sebuah beg hitam. Pelik. Beg itu terasa berat. Apakah ada besi di dalamnya? Spontan dia membuka zip. Dan matanya terpaku tidak berkelip. Bayi? Dia terus mengangkat bayi yang berbungkus kain itu. Kesan darah melekat di tangannya. Jemarinya mendekati hidung dan ubun-ubun si bayi. Ya! Dia masih hidup. Bayi ini masih hidup!

Fikirannya kini bergalau resah. Kepada siapakah mahu diserahkan bayi comel ini? Tentu pada orang Melayu kerana bayi ini bukan dari kaum lain. Dia mengambil keputusan untuk pergi ke masjid di depan tamannya. Biasanya, orang Islam yang pergi ke masjid adalah orang baik. Dia berlari sambil fikirannya tidak berhenti berfikir, mengapa orang Islam sanggup membuang anak? Bukankah Islam agama yang sejahtera?

Di depan tangga masjid, dia menunggu para jemaah selesai menunaikan solat Subuh. Melihat para jemaah itu berbaris dalam satu saf dengan wajah tunduk ke lantai, hatinya rasa sayu. Inikah kebenaran Islam yang sebenar? Dia terusik apabila mendengar sang imam membaca al-Quran. Tangannya semakin kuat memeluk bayi yang terpejam lena. Selesai solat, para jemaah membaca zikir dan berdoa. Kakinya sudah tidak sabar lagi mendekati mereka. Bayi di tangannya sudah bergerak-gerak.

"Pak Imam" jeritnya. Semua jemaah yang sedang bersalaman menoleh padanya. Dia menggamit Imam mendekatinya. Hatinya sendiri rasa kotor untuk memijak lantai masjid yang suci. Iman dan beberapa jemaah berlari padanya. Tanpa bicara dia menyerahkan bayi itu kepada imam.

"Allahh,..kau jumpa di mana budak ni?" tanya imam.

"Dekat tong sampah besar di sana.." katanya. Pak Imam memeluk bayi kecil yang mulai merengek. Di mata Imam sudah mengalir air jernih.

"Sanggup mereka buang anak yang tidak berdosa ni. Aku malu! Malu anak bangsaku sendiri tergamak buang bayi. Samy..terima kasih. Kau dah selamatkan budak ni. Moga-moga, Allah beri kau hidayah dan kehidupan yang lebih baik," kata imam padanya.

"Haramkah?" tanyanya. Semua mata memandangnya.

"Tidak..bayi ini tidak haram. Yang berdosa adalah ibu dan lelaki yang membuangnya. Mereka itu sama sahaja dengan sikap zionis Israel. Allah sahajalah yang dapat membalas kejahatan puak-puak ini," kata Imam lagi. Dia mengangguk kemudian menggigit bibir.

"Er..maksud saya, haram atau tidak saya masuk ke tandas masjid, saya nak basuh tangan yang berdarah ini?" katanya. "Eh..pergilah..pergilah.." kata imam menepuk bahunya sambil diiringi senyum para jemaah.