Dalam kerajaan kami, pemimpin adalah yang tertinggi. Segala cakap dan arahannya akan kami patuhi, membangkanginya tidak sekali. Kata pemimpin lebih ampuh daripada arahan ibubapa. Mungkin ramai yang berkata, kami ini ahli yang taksub, tetapi itulah yang berlaku dalam kerajaan kami; kerajaan semut.
Kerja kami setiap hari adalah mengangkut makanan-makanan di setiap penjuru dunia untuk diberikan kepada kerajaan dahulu kemudian baharulah kepada keluarga. Kami tidak patut mengatakan sistem 'melebihkan' pemimpin ini sebagai sistem yang tidak adil. Ini kerana, setiap kami bekerja untuk semut-semut yang lain, bukan untuk seekor atau sebuah keluarga semut sahaja. Hasil pengumpulan makanan tadi diagihkan kepada seluruh masyarakat semut yang tidak berkasta. Masyarakat kami tiada yang miskin, tiada yang kaya, malah tiada yang sederhana. Kami semua sama; 1 Semut. Jika pada hari itu makanan lebih, maka semua keluarga semut akan 'kaya'. Sebaliknya juga begitu. Tapi dalam masyarakat kami, tiada istilah 'miskin' kerana manusia sangat 'pemurah' kepada bangsa semut. Kami tidak sukar 'mencuri' makanan manusia hatta dalam mulut atau dalam telinga mereka sekalipun.
Ketua kami adalah orang yang sangat berwibawa. Ia dari bangsa semut yang pernah memberi arahan kepada Nabi Sulaiman A.S. Ketokohannya sangat menonjol. Kerjanya sebagai pemikir dan perangka strategi untuk masyarakat semut tidak menghalangnya untuk sama-sama turun padang mencari makanan. Ketika ketua semut bersama kami, sukar dibezakan statusnya. Malah tubuhnya lebih kecil daripada kami. Entah dari mana dia mendapat 'akal' kerana memang setiap kami tidak dikurniakan akal fikiran oleh Yang Maha Esa. Inilah yang dinamakan anugerah atau bakat semulajadi seorang pemimpin. Dengan hal itu, sewajarnyalah kami memberikan segala ketaatan kepadanya.
Hari ini, ketua semut bersama kami keluar mencari makanan. Lokasinya adalah sebuah kawasan sampah di pinggiran taman perumahan. Ketua semut membahagikan kami kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama akan bekerja meneroka sumber-sumber makanan yang terdapat dalam tong sampah besar, manakala kumpulan kedua bersiap sedia mengangkut makanan yang dijumpai. Kami menjalar ke setiap pelosok sampah. Bau hanyir dan tengik sangat menakjubkan. Malahan, kami terpaksa bersaing dengan binatang kecil lain seperti ulat dan cacing yang sama-sama gemar menikmati sampah. Kaum semut tidak bergaduh dengan binatang lain. Jika sesuatu kawasan telah diteroka oleh kumpulan ulat, maka kami akan mencari lokasi yang lain. Kami menganggap ianya bukanlah rezeki untuk kami. Rezeki Yang Maha Esa amat luas. Sisa-sisa makanan manusia misalnya, kami yang menghabiskan. Apakah di kalangan manusia ada yang cemburu pada kami, kerana walaupun saiz tubuh kami amat-amat kecil, kami tidak pernah mendapat penyakit kencing manis walau sebanyak manapun gula yang kami makan. Hal ini adalah kelebihan dariNya buat bangsa semut yang tidak dikecapi manusia.
Sebuah beg hitam yang berada dalam tong sampah itu masih tidak diusik ulat-ulat. Kami ke sana dengan berbaris panjang. Ketua kami paling hadapan dan menyelinap melalui lubang zip. Kami merangkak ke atas tubuh seorang manusia kecil. Masuk ke rongga dan menggigit kulitnya yang lembut. Tiba-tiba ketua menjerit lantang.
"Semua keluar dan jangan sesiapa menggigit budak kecil ini lagi,"kata ketua. Kami serta-merta berhenti dan tidak bertanya mengapa arahan itu dikeluarkan. Kami berbaris semula dan mengikut ketua mencari makanan di luar beg hitam itu.
"Budak itu masih bernyawa. Kita tak boleh membunuhnya. Dia diperlukan masyarakat Islam untuk melawan Yahudi dan zionis. Aku mendengar dia berikrar kepada Tuhan tadi bahawa jika dia hidup, dia akan menjadi manusia yang baik. Kita patut menyokongnya," kata ketua. Kami mendengar sambil terus menghidu makanan.
"Wajarlah dia menjadi ketua semut, dia mempunyai hati yang murni dan tidak zalim," bisik salah seekor daripada kami tanpa didengar oleh ketua semut.
utusanmalaysia